Thursday, February 12, 2009

HENTIKAN PERSENGKETAAN POLITIK DEMI KELANGSUNGAN EKONOMI NEGARA


Presiden Barack Hussien Obama telah dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20hb Januari 2009. Beliau terus turun padang untuk menyelamatkan ekonomi negara tersebut yang sedang mengalami krisis kewangan daripada terus lumpuh dengan melakukan dasar-dasar yang drastik demi kesentosaan rakyat negara tersebut dalam jangka masa yang panjang. Beliau juga telah menetapkan nilai bekerjasama dengan pihak parti "pembangkang" Republik sebagai model untuk mara ke hadapan setapak lagi. Pada minggu lepas, Presiden Obama telah menamakan Judd Gregg, seorang Senator parti Republik sebagai setiausaha kewangan beliau. Judd Gregg merupakan orang ketiga daripada Parti Republik untuk dilantik dalam kabinet Obama selepas Robert Gates, setiausaha Pertahanan dan Ray Lahood, setiausaha Pengangkutan seperti kata Obama, " Ini bukan masanya untuk berpartisan tetapi untuk mentadbir dengan baik melalui kerjasama". Alangkah baik sekiranya kerjasama tersebut boleh dipupuk di Malaysia...

Tetapi perkara yang sebaliknya berlaku di negara ini. Pergolakkan politik yang bermula sejak tsunami politik 8 Mac 2008 nampak tiada penghujungnya buat masa ini. Sekarang kita menghadapi kekeliruan dan krisis politik di negeri Perak dengan kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat saling tuduh-menuduh antara mereka. Dengan kedudukan dua Menteri Besar dengan tuntutan kedua-dua pihak bahawa mereka adalah kerajaan yang sah ditambah pula dengan tuntutan kes di mahkamah, perancangan stimulasi ekonomi di negeri tersebut terpaksa ditunda sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan. Ini akan merugikan rakyat negeri Perak kerana mereka terjejas dengan teruk semasa negara berada diambang krisis ekonomi dunia.

Tambahan pula, pakar-pakar ekonomi turut menyatakan bahawa Malaysia juga akan terkena tempias krisis ekonomi global yang melanda Amerika Syarikat kerana negara ini adalah negara yang banyak bergantung kepada eksport untuk menjana pertumbuhan ekonominya. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah awal dengan memperuntukkan RM2 billion dalam Valuecap Bhd dan pakej stimulasi RM7 billion untuk menyuntik ekonomi negara namun ianya dilihat masih tidak mencukupi untuk menyelamatkan Malaysia daripada memasuki kegawatan pada tahun hadapan. Pada Jumaat lepas CIMB mengubah unjuran pertumbuhan ekonomi negara daripada 2% kepada 0.8% tahun ini manakala Citibank meramalkan pertumbuhan ekonomi akan memasuki kegawatan pada bulan September ini pada -0.5%. Sebenarnya ekonomi Malaysia sedang mengalami keadaan yang genting namun penulis kecewa ahli-ahli politik seperti tidak mengambil berat untuk berbuat sesuatu untuk memulihkan ekonomi negara.

Hari demi hari perbalahan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi dengan masing-masing tidak mahu melepaskan ego mereka. Esok, Suruhanjaya Pilihan Raya akan membuat keputusan mengenai pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Yang pasti kempen di dua "Bukit" ini akan menelan kos berjuta-juta ringgit dan yang akan merana ialah rakyat biasa kerana wang yang digunakan adalah melalui kutipan cukai yang dibayar kepada kerajaan. Selepas itu, pada bulan Mac, parti UMNO akan mengadakan pemilihannya dan YAB Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan tampuk jawatan Perdana Menteri kepada pengganti beliau YAB Dato'Seri Najib Tun Razak. Penulis bimbang dengan perhatian yang terlalu meluas diberikan kepada perkembangan politik tanahair, pemulihan ekonomi akan terbiar. Rakyat akan menerima sengsara kerana periuk nasi mereka terjejas dengan teruk dengan ribuan lagi tenaga buruh dijangka akan kehilangan kerja mereka selepas ini kerana banyak syarikat mula menghentikan operasi perniaagan mereka.

Sudah terang lagi bersuluh, penulis berharap YAB Dato' Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih tampuk pentadbiran pada 1 April ini bekerjasama dengan ketua pembangkang YB. Dato Seri Anwar Ibrahim untuk kelangsungan ekonomi negara terutamanya dalam pembentangan belanjawan mini benilai RM 10 billion yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan bukannya bertekak siapa yang hebat. Penulis menyeru kepada parti kerajaan dan pembangkang untuk mengetepikan persengketaan mereka dan bekerjasama demi kesejahteraan hidup rakyat negara ini. Kita tidak mahu negara ini kucar-kacir seperti negara Thailand hanya kerana perbezaan idelogi politik. Ingatlah wahai pemimpin, anda bertanggungjawab untuk membela rakyat negara ini kerana merekalah yang meletakkan anda di kedudukan ini. Janganlah leka apabila berada di atas kerana rakyat memerhatikan anda dan mampu membuat perubahan dalam peti undi sekiranya perut mereka "menjerit" lagi. Bersatu untuk rakyat. Sekian, harapan seorang mahasiswa...


1 comment:

Ahmad Deniel said...

itulah..kadang2 demi kepentingan politik yang spttnya dilakukan dilupakan..Tak kiralah mana2 pihak..

tentang ekonomi malaysia, mmg kita dah down..ungkin tak nmk lagi..tapi org2 ekonomi dah merasa..lihat sajer di malaysia, apakah sektor yang dikatakan boleh merangsang atau jadi taruhan negara..ada? dah tekder..industri dah jatuh..sbb malaysia sudah tak cmpettv atau berdaya saing dengn negara lain sama ada dari sudut memberi kos yang rendah kepada pelbaur luar..bnyk negara lain boleh beri yang lbh meurah di malaysia..

so kpd pemimpin PR, Or BN, politik2 juga, tapi tanggungjawab lain jangan dilupa..Janji hanya janji, kalau nista jadi dahuluan..