Sunday, April 2, 2017

If i know

If i do know earlier that I'm just a pass time for you, i would have stopped, if i do know that I'm just not more then a junk for u, i would have backed away, but then after all this year's, now you show me what I'm worth off, it hurts, baby I'm not a stone, it does hurt, baby i do have honour, i do have ego, but you shattered it away together with my heart, I'm already zombified, but yet like warm bodies there is still warmth of love in my heart. Carry on hurt me more..till i breathe my last breath..I'm tired of this false world, sarcastic, materialistic, and worst yet so discriminating..Like your so. Called friends who are so called hate other race...Maybe u forgot you are not same like them..Leave it because you will never understand until u r in the same shoes like me..Anyway please don't forget i do have my wrath, in which i will wipe everyone before I'm gone forever.

Thursday, September 10, 2009

Pilihan raya kampus UKM dengan e-voting..?

Mahasiswa sering dikatakan sebagai pewaris kepimpinan generasi akan datang. Dan sememangnya itulah hakikat yang sebenarnya. Pilihanraya Kampus merupakan medium latihan bagi seluruh mahasiswa mencorakkan sistem kepimpinan mereka secara praktikal. Gerakan politik kampus UKM yang telah bermula sejak dari tahun 1970 dengan tertubuhnya PMUKM hasil daripada pilihanraya kampus dan sehingga tahun ini hampir mencecah 40 tahun usiannya.

Bersempena dengan PRK yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, suka untuk dikongsi berkenaan perjalanan PRK bagi UKM. Isu berkenaan pilihanraya kampus ini tidak boleh lari daripada pihak pihak yang bertanding. Sinonim di UKM ini pertandingan sengit antara Gabungan Mahasiswa yang pro kepada mahasiswa dan juga Aspirasi yang pro kepada pentadbiran. Satu lagi pihak yang memainkan peranan seperti SPR adalah Jawatankuasa Pemilihan dan juga Urusetia Pemilihan MPP yang terdiri daripada admin UKM itu sendiri.

Hampir 40 tahun kita dihindangkan dengan sistem Pilihanraya secara manual sepertimana sistem Pilihanraya Umum negara. Tetapi berita yang kuat bertiup sehiingga kini daripada beberapa sumber pentadbiran adalah mengenai penggunaan sistem e-voting bagi menggantikan sistem manual pada sesi kali ini. Hal ini dikuatkan dengan beberapa pindaan besar dalam buku peraturan tatatcara pemilihan MPP yang telah dipinda secara drastik oleh Jawatkuasa Pemilihan MPP UKM bermula pada sesi lepas 2008/2009.
Belumpun selesai isu perjalanan PRK secara manual yang terlalu banyak dipertikaikan ketelusannya, timbul pula agenda baru e-voting. Dengan sistem demokrasi dlm PRK yang layak diberi tahap 1 bintang, muncul pula agenda yang lebih mengelirukan iaitu sistem e-voting ini. Ini adalah agenda memilih Majlis Perwakila Pelajar dan bukannya memilih juara Akademi Fantasia ataupun Mentor. Sebelum daripada ini antara kampus yang menjadi mangsa penggunaan sistem ini adalah UPM dan UPSI.

Alasan utama yang akan digunakan semestinya adalah selari dengan kecanggihan teknologi ICT, menjimatkan masa pelajar serta petugas, memudahkan pengiraan, menjimatkan kos dan sebagainya. Bagi saya, e-voting hanya menguntungkan pihak Jawatankuasa Pemilihan MPP sahaja kerana ia menyenangkan urusan mereka. Kaedah ini adalah tidak praktikal sama sekali dengan kaedah perjalanan Pilihan Raya Umum di luar.

Dengan kelompangan yang begitu banyak dan ketara dalam buku peraturan pemilihan MPP yang belum ada jalan penyelesaian terbaik, ini bukanlah masanya untuk menjadikan mahasiswa sebagai bahan eksperimen bagi sistem e-voting ini. Mahasiswa seharusnya didedahkan dengan realiti dunia sebenar dalam konteks pilihanraya kampus ini. Bukan sekadar dibudak budakkan atau sekadar cukup syarat sahaja. Ini adalah hakikat yang berlaku dalam pemilihan pemilihan MPP sebelum ini. Nah ! Hasilnya maka lahirlah pemimpin pelajar yang sekadar tahu mengangguk dan menggeleng dan inilah pewaris negara akan datang yang bakal dilahirkan daripada gedung ilmu.

Konklusinya adalah perbaiki sistem manual yang telah sedia ada dengan mengurangkan jurang pilih kasih atau pilih bulu antara calon calon yang bertanding. Selain daripada menghalang campurtangan daripada pihak pihak luar seperti felo dan juga pengetua sepanjang tempoh berkempen, dalam masa yang sama juga pertingkatkan sistem ketelusan pengiraan serta penjumlahan undi yang kebiasaannya menimbulkan ketegangan antara pengetua pengetua kolej dengan calon calon serta agennya akibat kurang pemahaman atau penelitian terhadap buku peraturan yang sememamngnya kabur dari sudut kaedah perjalanan pemilihan yang disediakan oleh pihak pentadbiran sendiri. Bukan dengan pelaksaan e-voting.


Salam Ramadhan Kareem & Stop Rasicm
Ikhlas,
Mohd Fikah Bin Sanusi,
Wakil Umum Majlis Perwakilan Pelajar UKM 08/09
Fakulti Undang undang/ Tahun 4

Monday, August 3, 2009

Dipimpin Atau Memimpin

Setiap individu yang berfikiran waras dan matang haruslah sentiasa bersedia dan kehadapan dalam isu-isu memilih pimpinan ini, mengenal seseorang pemimpin melaui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu haruslah menjadi salah satu resepi bagaimana seseorang individu menilai bakal pemimpin yang mereka inginkan.

Tidak kira siapapun, kita diberi Allah S.W.T kelebihan masing-masing, samada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, samada kita selaku orang yang dipimpin kita punya hak untuk menjadi rakyat yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

Samada DIPIMPIN atau MEMIMPIN semuanya harus kembali kepada ALLAH S.W.T, yang lebih MAHA BERKUASA kepada hambaNYA.

Ramuan Memilih Pemimpin


Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta macam-macam lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati dan sempurna bila diadun.

Bersikap adil pada kehendak sosial haruslah difikirkan dengan lebih terbuka dikalangan kita. Menjadi “Juri” merupakan salah satu pilihan yang harus dipilih oleh kita sebelum menjadi “Hakim” terhadap pimpinan yang bakal dipilih.

Keadaan masyarakat, suasana sosial, kehendak sekeliling haruslah diambil kira dalam menilai siapakah pimpinan yang bakal menerajui sesebuah oraganisasi itu.



Silap Memilih, Hancur Bersilih

Silap menilai untuk memilih pemimpin yang terbaik seringkali menjadi kesalahan utama buat kita. Kesannya cukup-cukup terasa bila anda berada disisi pimpinan. Inilah kesilapan yang benar-benar membuatkan sesebuah organisasi itu hancur bersilih ganti, bila “warisan” ini dikekalkan dan diturunkan ia tidak mampu menjanjikan sesuatu perubahan, malah ia “menjanjikan” satu keadaan yang amat kucar-kacir.

Kerana simpati dan menjaga dasar-dasar persahabatan yang ikatannya yang dikatakan lebih dari saudara, kita sanggup menggadai kepentingan sosial yang jauh lebih utama untuk difikirkan dan dek kerana kemahsyurannya, kita kehilangan dan seolah-olah buta melihat manusia lain yang jauh lebih berbakat dan dek kerana secubit jasa yang kita pernah terima, kita tertutup minda untuk menilai pimpinan yang kita pilih dengan lebih mendalam.

Ianya jadi beban, beban yang berat bagi mereka yang merasai. Tidak dinafikan ianya cukup-cukup susah dan kritikal untuk dinilai, namun ianya satu yang subjektif untuk kita kaji serta huraikan dengan lebih terperinci siapakah pimpinan yang bakal kita pilih dan ianya bukan objektif untuk terus kita tentukan.

Itu kelebihan perkara yang subjektif. Tidak perlu tepuk dada tanya selera. “ketuk hati dan akal, selera itu pelbagai-bagai”.



"Walk The Talk"

Penghayatan pada bicaranya dan bertindak mengikut bicaranya kemudian merubah bermula dengan dirinya sendiri. Siapapun kita bila menjadi pemimpin, kaedah ini haruslah dijadikan sandaran yang terbaik dalam melaksanakan “kerja” yang diberi.

Kita haruslah berani untuk menjadi seorang yang mampu melaksanakan perubahan didalam organisasi yang diceburi. Bekerja di atas dasar “tradisi” membuatkan organisasi berada di tampuk yang lama. Statik dan susah berubah.

Berubah merupakan kunci yang cukup-cukup penting dalam sesebuah kepimpinan, ia juga merupakan salah satu perkara yang harus diambil kira oleh mereka yang dipimpin untuk merubah pimpinan yang benar-benar berjaya. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk rakyat. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.


Sejarah Satu Pengajaran

Sejarah mendidik kita untuk jauh menilai sesebuah kepimpinan itu dengan lebih matang dan terbuka. Walaupun hanya diperingkat bawahan, namun nilai dan pengajaran dalam sejarah kepimpinan harus diambil kira dan dihayati.

Sejarah membuktikan keberjayaan sesuatu bangsa dan negara itu bukanlah hadir semata-semata kerana kemajuan dan kemodenan semata-mata, namun sikap moral dan sosial sesebuah bangsa yang dipimpin oleh pemimpin yang benar-benar berprinsip teguh yang menjadikan negara itu maju dan berjaya.

Apabila Saidina Abu Bakar Al-Sidiq dipilih menggantikan tampuk pemerintahan Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar berucap di tengah-tengah rakyatnya . “Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukanlah orang yang terbaik di antara saudara. Sekiranya saya berbuat baik, berikanlah pertolongan kepada saya, dan sekiranya saya melakukan kesalahan, betulkanlah kesalahanku itu. Ikutlah saya selagi saya menuruti perintah Allah dan Rasulnya, dan sekiranya saya mengingkari (perintah) Allah dan Rasulnya, saudara sekalian tidaklah patut taat kepadaku lagi.”


Konsepnya cukup cantik dan sempurna. Rendah diri dan berpegang pada prinsip membuatkan pemimpin itu disegani rakyat dan disayangi, dek kerana keluhuran budi yang pemimpin itu miliki, negara yang asalnya “ARANG HITAM” bisa bertukar menjadi “BERLIAN MEWAH”.

Kita selusuri pula sejarah pemerintah-pemerintah yang digulingkan rakyat, semuanya kerana apa? Semuanya kerana kesalahan yang pemimpin itu sendiri tidak mampu selindungkan, dinaikkan hanya kerana kerana nama serta dilantik hanya kerana kemahsyuran, bukan pada prinsip, idea dan perjuangan demi rakyat.

Betapa hinanya Ferdinand Marcos di Filipina yang digulingkan melalui “kuasa rakyat” kerana kesilapannya menjadi pemimpin, beliau “diratah” rakyatnya kerana membencikan beliau dan inilah juga caranya Presiden Suharto terpaksa meletakkan jawatannya setelah dipaksa oleh protes popular rakyat Indonesia begitu juga kisah maharaja Syah di Iran yang dijatuhkan takhtanya akibat revolusi rakyat Iran, semuanya kerana apa?

Tanpa prinsip dan kebijakan bersosial, siapapun boleh jatuh. Kini kita sudah jauh dihadapan, warga muda haruslah memandang jauh kehadapan. Kualiti pemikiran kita yang benar-benar matang merupakan ukuran asas untuk kita menentukan dunia masa akan datang. Segala terletak di tangan kita dan di AKAL FIKIRAN kita. Tiada manusia yang sempurna, namun tidak salah mempelajari kesempurnaan. Sekadar sumbangan fikrah untuk dihayati dan didengari.


Credit :www.iluvislam.com

Friday, July 31, 2009

ADAKAH PTPTN CUKUP?



Tujuan PTPTN adalah untuk membantu mahasiswa membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup di sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT.

Baru-baru ini, saya telah berbincang isu tersebut dengan seorang rakan saya yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana. Beliau berpendapat bahawa mahasiswa sepatutnya bersyukur dan berterima-kasih kepada kerajaan kerana PTPTN telah membantu mahasiswa untuk menyelesaikan masalah kewangan. Saya bertanya: Adakah kamu meminjam PTPTN? Beliau kata tidak. Saya tersenyum dan beritahu rakan saya itu bahawa beliau tidak tahu kesusahan mahasiswa yang meminjam PTPTN.

Sebenarnya, PTPTN adalah tidak cukup terutamanya bagi mahasiswa yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah. Seseorang mahasiswa boleh dapat lebih kurang RM2000 satu semester selepas potong yuran pengajian. Maksudnya, RM2000 adalah untuk perbelanjaan kos sara hidup untuk satu semester iaitu 4-5 bulan. Adakah kamu pernah kira? Perbelanjaan untuk makanan( sarapan, makan tengahari, makan malam), perbelanjaan untuk sewa rumah/kolej, perbelanjaan untuk kenderaan, perbelanjaan untuk bil? Tambahan lagi mahasiswa yang diarahkan untuk menyiapkan tugasan-tugasan mereka dengan komputer menyebabkan mereka terpaksa membeli lap top. Mana ada duit? RM2000 itu cukup? Bagaimanakah seorang mahasiswa yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana atau rendah boleh menyara diri terutamanya pada era krisis ekonomi ini?

Kebanyakan mahasiswa di universiti terutamanya universiti tempatan di negeri Selangor bergantung kepada
FAMA Bank( Father Mother Bank). Bagi mereka yang tidak mendapat bantuan kewangan daripada ibu bapa, mereka terpaksa meminta bantuan daripada universiti, ataupun cari kerja(kebanyakan mengajar tuisyen dan kerja part time Sabtu dan Ahad) untuk menyara diri. Terdapat mahasiswa yang jimat juga. Mereka makan sekali sahaja satu hari: nasi + telur dadar + sup tom yam= RM2.00.

Sebaik sahaja mahasiswa tamat pengajian, sudah tentu mereka akan cari kerja. Kebanyakan mahasiswa boleh mendapat gaji lebih kurang RM1800. Kalau kira dengan teliti, masih tak cukup duit untuk menyara diri, dan mereka berhutang kepada kerajaan duit PTPTN berpuluh-puluh ribu ringgit! Lebih-lebih lagi bagi mahasiswa yang menganggur. Kalau mereka terpaksa menyara keluarga lagi?

Adalah tidak senang bagi seseorang anak daripada sesebuah keluarga yang berpendapatan sederhana atau rendah masuk ke universiti. Semestinya keluarga tersebut menaruh harapan yang tinggi kepada anak mereka itu. Akan tetapi, mereka tidak sangka anak mereka bukan sahaja tidak dapat menyara keluarga, tetapi menyara diri pun menjadi satu masalah, tambahan lagi anak mereka kena membayar hutang PTPTN dengan faedah.

Saya tidak tahu kenapa media suka memburuk-burukkan mahasiswa . Ada yang mengatakan bahawa PTPTN mahasiswa adalah lebih daripada yang cukup. Ada yang mengatakan bahawa mahasiswa suka menggunakan wang PTPTN untuk membeli-belah,
dating dan lain-lain. Saya pasti, mahasiswa yang dimaksudkan itu, mahasiswa yang kaya, atau mahasiswa yang bekerjapart time. Sudah pasti, mahasiswa berasal daripada keluarga yang kaya tiada masalah membeli-belah, tetapi bagi mahasiswa yang berasal daripada keluarga yang miskin? Duduk rumah makan Maggie sahaja.

Pendidikan adalah perkara yang paling asas dan penting di sesebuah negara. Kos pendidikan sepatutnya ditanggung oleh negara. Bagaimana mahasiswa dapat fokus kepada pelajaran jika menghadapi masalah kewangan? Bagaimanakah seseorang itu boleh berkhidmat dan menyumbang kepada negara jika dia menghadapi masalah kewangan? Adakah patut kita bersyukur atau patutkah kita memperjuangkan hak yang kita sepatutnya ada? Adakah sampai masa kerajaan mempertimbangkan polisi dan dasar mereka? Fikirkanlah


Sunday, July 26, 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu


Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.


Logik


Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

Oleh,

Dr. Mohd Ridhuan Tee
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.