Pilihan Raya Kampus (PRK) telah melabuhkan tirainya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 11 malam 15 Januari 2009 dengan pengumuman keputusan calon MPP oleh Prof.Dato' Mohamad Abdullah Razak, Timbalan Naib Cancelor HEPA yang baru dilantik. Penulis mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang memenangi PRK kali ini. Bagi yang tewas anggap ini sebagai satu pengalaman yang tidak ternilai harganya dan mahasiswa yang mempunyai tempoh pengajian yang cukup boleh mencuba lagi tahun hadapan.
Bagi Yang Berhormat UKM yang terpilih, penulis berharap anda semua mengotakan janji-janji anda semasa berkempen mengenai manifesto anda dalam tempoh berkempen. Janganlah kita mendengar suara-suara sumbang calon yang terpilih nanti tidak menjalankan kerja mereka dan hanya menabur janji-janji manis untuk meraih undi mahasiswa. Penulis tertarik untuk mengulas salah satu isu yang dibawa oleh calon-calon MPP iaitu memperjuangkan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). OKU menjadi isu popular di kalangan calon Aspirasi dan juga calon Gabungan Mahasiswa terutama calon yang bertanding kerusi umum. Penulis berasa gembira kerana akhirnya MPP mula mengambil berat tentang golongan ini di UKM.
Berdasarkan pertanyaan dengan Unit Kebajikan UKM, penulis telah mendapat tahu bahawa terdapat 34 mahasiswa OKU yang sedang menuntut di universiti yang tercinta ini. Setiap mereka mempunyai masalah yang tersendiri kerana OKU merangkumi cacat penglihatan, cacat fizikal, pekak, bisu, masalah pembelajaran dan lain-lain. Pihak pentadbiran universiti telah melakukan perubahan yang positif kepada golongan ini telah meratakan laluan dari kolej Dato'Onn ke Canseleri untuk membolehkan mahasiswa yang berkerusi roda untuk melaluinya. Kolej Dato'Onn juga menempatkan dua pelajar OKU dan mereka diberi bilik felo untuk dihuni kepada mereka bagi mengurangkan kesusahan mereka. Ini adalah permulaan yang baik namun persoalannya adakah ianya mencukupi?
Terdapat ramai pelajar OKU yang ditempatkan di merata-rata kolej dari kolej Keris Mas ke kolej Pendeta Za'ba. Penulis ingin mencadangkan PMUKM yang baru supaya menempatkan semua mahasiswa OKU di satu kolej yang strategik untuk memudahkan urusan seharian mereka dan kolej ini disediakan kemudahan infrastruktur yang mencukupi bagi golongan ini. Sekiranya dilakukan di semua kolej ianya akan menelan kos yang sangat tinggi maka penulis mencadangkan untuk permulaan usahakan di satu kolej dahulu. Selain itu, penulis sering memerhatikan seorang pensyarah cacat penglihatan di FSSK yang selalu menghadapi kesukaran untuk berjalan-jalan disekitar kampus kerana rintangan di hadapan beliau. Mujurlah terdapat mahasiswa prihatin yang sanggup membantu beliau untuk elakkan beliau dari terlanggar objek atau terjatuh. Sesetengah dewan kuliah perlu disediakan kemudahan mesra OKU kerana terlalu jauh dan cerun untuk golongan ini. Tandas juga perlu lebih mesra OKU terutamanya mahasiswa yang berkerusi roda. PMUKM tolong ambil serius perkara ini untuk membantu golongan ini..
Dalam Surah Abasa', ayat 1-11, diceritakan bagaimana Allah SWT telah menegur Rasulullah s.a.w yang tidak melayan seorang kurang upaya penglihatan yang datang kepada Baginda untuk bertanyakan hal-hal agama. Ini menunjukkan bahawa Islam menuntut kita melayan sesama manusia tanpa pilih kasih. Janganlah kita asyik-asyik menunjukkan simpati terhadap golongan ini tetapi tidak mengambil sebarang inisiatif untuk membantu mereka. Penulis juga merasakan bahawa surau-surau dan Pusat Islam UKM perlu diubahsuai sedikit untuk memudahkan mahasiswa OKU untuk beribadat.
Penulis merasakan cukuplah untuk hari ini bagi membincangkan tentang mahasiswa OKU di UKM. Sekiranya penulis yang biasa ini telah banyak membantu mahasiswa OKU di universiti ini, penulis percaya MPP yang terpilih boleh melakukan banyak lagi kepada golongan dengan kuasa yang diberi untuk menjadi penyalur kepada pihak pentadbiran universiti. Pastikan anda mengotakan janji anda bagi yang terpilih untuk menjadi MPP dan bukannya janji kosong semata-mata. Ingatlah, golongan ini wajib dibantu di universiti yang tersayang ini walaupun bilangan mereka tersangat kecil. Selamat berjuang...